Assalamualaikum

أخوكم في الله

AhLaN Wa SaHLaN

Selasa, 8 Mei 2007

Islam, Akal, dan Bahasa

Islam, Akal, dan Bahasa
Md. Asham bin AhmadFellow04/05/2007 Utusan Malaysia

Akar-umbi Islam ialah akal dan bahasa, dan pengislaman sebagai suatu daya usaha secara sedar ke arah memenuhi tuntutan Islam yang hakiki, pada dasarnya merujuk kepada pengislaman akal dan bahasa.
Seorang Muslim sejati mestilah berfikir secara Islam, yakni dia berfikir dalam suatu kerangka pemikiran yang dipancarkan oleh agama Islam. Pandangan hidupnya adalah merupakan suatu jalinan bermakna faham-faham yang dipancarkan oleh al-Qur'an, yang ditanzilkan dalam bahasa Arab yang baru sifatnya, sejajar dengan pandangan hidup baru yang dibawa oleh agama Islam.
Lihat sahaja kepada rukun-rukun Islam yang lima. Rukun yang pertama adalah asas kepada rukun-rukun yang lain. Tidak sah yang lain itu tanpa yang pertama.
Rukun pertama menuntut seseorang yang mahu jadi Muslim membuat pengakuan yang tertentu, yang dinamakan kalimah syahadah, yakni kalimah penyaksian. Sehubungan dengan itu, terdapat tiga jenis saksi: saksi yang benar, saksi yang bohong, dan saksi yang jahil. Hanya saksi yang benar diterima kesaksiannya. Saksi yang bohong adalah si munafik, yang menafikan dalam hatinya apa yang dilafazkannya. Manakala saksi yang jahil adalah yang tidak tahu atau tidak faham apa yang dilafazkannya.
Frasa `mengucap dua kalimah syahadah' sebenarnya mengundang kekeliruan. Terdapat perbezaan besar antara menuturkan dua kalimah syahadah dengan bersyahadah, yakni memberikan kesaksian. Orang yang mengucap dua kalimah syahadah tidak semestinya jadi Muslim, sebagaimana orang yang dipanggil menjadi saksi di mahkamah tidak semestinya diterima kesaksiannya. Hakim yang bijaksana tidak akan menerima secara membuta-tuli dakwaan yang dibuat oleh saksi, sebaliknya akan meneliti dan menghalusi dahulu bagi mengetahui sejauh mana kebenarannya. Yang menghakimi kebenaran ucapan dua kalimah syahadah ialah Allah, Tuhan Yang Maha Bijaksana! Tiada apapun yang tersembunyi dari ilmuNya; justeru, Yang Maha Esa tidak boleh dibohongi.
Kalimah-kalimah yang dituturkan oleh yang mengucap dua kalimah syahadah, walaupun dalam bahasa yang asing bagi penuturnya, mestilah diketahui dan difahami maksud dan akibatnya. Kalimah-kalimah `ilah', `Allah', dan `Rasulullah' mempunyai makna yang tertentu. Apabila kalimah-kalimah ini dilafazkan dalam satu rangkaian penyaksian, yang melafazkannya mengakui dalam jiwanya kebenaran makna itu, dan berazam menzahirkan kebenaran kata-katanya itu melalui perbuatan dan tingkah-lakunya. Apabila jiwa, lidah, dan anggota semuanya `menyerah' kepada Allah barulah seseorang itu benar-benar Muslim.
Walaubagaimanapun, hanya Allah yang benar-benar mengetahui apa yang tersembunyi dalam jiwa seseorang. Manusia hanya dapat melihat apa yang zahir dari pertuturan dan perbuatan, dan dituntut bertindak berdasarkan apa yang zahir.
Namun demikian, apabila berbicara tentang Islam sebagai suatu hakikat, merujuk kepada yang zahir sahaja tidak memadai. Islam adalah penyerahan diri kepada Allah secara sedar dan sukarela, dan penyerahan itu tidak mungkin berlaku tanpa ilmu. Justeru, ilmu adalah prasyarat Islam. Di sini terlihat kebenaran kata-kata: "tiada agama bagi yang tiada akal". Kata-kata ini benar kerana akal adalah prasyarat ilmu; yang tiada akal tak mungkin berupaya memahami dan menerima ilmu, dan yang tiada ilmu tidak mungkin menjadi Muslim sejati.
Lawan keislaman ialah kekufuran. Kalau Islam itu penyerahan kepada Allah, kekufuran ialah keengganan menyerah kepada Allah. Sebab kekufuran, seperti yang dicontohkan oleh iblis, menurut al-Qur'an, adalah keengganan dan keangkuhan. Keengganan seseorang membuka mata, telinga, dan hatinya terhadap risalah Islam, sehingga dia menolaknya tanpa mengetahui apa yang ditolaknya adalah kekufuran. Keengganan menerima agama Islam setelah mengetahui kebenarannya adalah kekufuran yang lebih besar kerana ia disertai keangkuhan, yakni keengganan tunduk kepada kebenaran secara sedar.
Berbalik kepada persoalan akal dan bahasa yang kita bahaskan dengan merujuk kepada kalimah syahadah yang diucapkan kepada setiap yang mahu jadi Muslim. Ini sebenarnya membayangkan ciri unggul agama Islam: risalahnya diungkapkan melalui bahasa prosa. Setiap Muslim diperkenalkan dan seterusnya belajar mengenali Tuhan dan RasulNya melalui bahasa, bukan melalui hasil seni rupa atau seni pahat. Ertinya, dari awal lagi dia diajak berfikir secara ilmiah tentang hakikat kewujudan dengan menggunakan akal dan fikiran, bukan menurut perasaan dan khayalan!
Sebagaimana Islam ditanam dan disuburkan melalui bahasa dan akal demikian jugalah caranya ia dirosakkan. Pencemaran terhadap bahasa mencemarkan akal fikiran. Apabila makna asal kalimah-kalimah yang membentuk pandangan hidup dipesongkan fikiran menjadi keliru, dan dari fikiran yang keliru lahirlah tindakan-tindakan yang menyeleweng dari matlamat-matlamat kebenaran dan keadilan.
Contoh yang mudah, dan mungkin juga sesuai ditonjolkan sekarang ialah keghairahan dan kekaguman masyarakat kita terhadap 'kuasa ghaib' yang dikaitkan dengan apa yang dikenali dengan makhluk halus, jin, hantu, mambang, orang bunian, dan sebagainya.
'Kuasa ghaib' ini ditakuti, dikagumi, dihormati, dan menjadi tempat memohon pertolongan. Kehendaknya mesti dipatuhi, tidak boleh menimbulkan kemarahannya, jangan langgar pantang-larangnya. Apakah kuasa itu? Ia tidak boleh dilihat dengan mata kasar tetapi 'kesan' kewujudannya 'dirasai' dan 'dialami'. Ia bertutur menyatakan kehendaknya melalui perantaraan orang tertentu yang dikenali sebagai pawang, bomoh dan dukun.
Keupayaan memberikan manfaat dan melindungi dari mudarat, yang merupakan hak mutlak Allah, telah diberikan kepada yang lain dariNya. Manakala para dukun, pawang, dan bomoh, yang menjadi orang perantaraan itu tarafnya seakan-akan Rasul yang diutus Tuhan kepada manusia bagi menyampaikan perintah dan larangannya.
Ini adalah penyelewengan yang amat besar, ia dinamakan syirik, dan ia berlaku dalam akal. Istilah-istilah jin, pelesit, hantu, orang bunian, dan lain-lain telah diberikan makna-makna yang salah dan tidak layak bagi mereka. Apabila makna-makna yang merupakan hak mutlak Allah turut diberikan kepada yang lain dariNya, berlakulah penyekutuan makna. Ini, menurut al-Qur'an, adalah kezaliman yang amat besar, suatu dosa yang tidak boleh dimaafkan.
Syirik adalah kezaliman yang besar kerana ia merupakan pencerobohan terhadap tempat sebenar Allah dalam susunan martabat dan darjat kewujudan. Orang yang melakukannya sama ada telah membohongi syahadah yang dilafazkannya atau semata-mata jahil terhadap maksudnya. Tentunya ini tidak bermaksud seseorang itu dituntut lengkap sempurna ilmu dan kefahamannya tentang Islam pada masa dia melafazkan dua kalimah syahadah. Dia, walaubagaimanapun diwajibkan menuntut ilmu dan menambahkan kefahamannya selagi hayat dikandung badan. Seseorang Muslim hendaklah sentiasa menginsafi dirinya dan memastikan dirinya pada setiap masa berada pada landasan Islam kerana tiada jaminan dia kekal Islam hingga ke akhir hayat. Ini adalah seruan al-Qur'an, yang mengingatkan orang-orang beriman supaya bertaqwa kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sesekali mati melainkan dalam keadaan Islam.
Bercakap dalam ruang lingkup yang lebih luas, pengislaman sesuatu masyarakat atau bangsa tidak dapat dinafikan adalah suatu aliran yang panjang dan berterusan. Segala bentuk pemikiran dan amalan yang bercanggah dengan ajaran Islam yang begitu berleluasa dalam segenap lapisan masyarakat hari ini membayangkan kehampaan ilmu yang parah. Di satu pihak kita berhadapan dengan saki-baki pemikiran pra-Islam yang masih diwarisi manakala di pihak yang lain kita diasak oleh faham-faham sekular yang disebarkan secara terancang melalui sistem pendidikan arus perdana.
Kekuatan dan keampuhan Islam dalam menghadapi tantangan ini terletak kepada keutuhan dan keaslian sumber asalnya yakni al-Qur'an. Selagimana kalimahnya tidak dirobah, dan maknanya tidak diselewengkan selagi itulah umat Islam tidak boleh dikelirukan akal fikirannya. __._,_.___

Tiada ulasan: