Assalamualaikum

أخوكم في الله

AhLaN Wa SaHLaN

Khamis, 21 Jun 2007

MuZaKaRaH BeRKeLoMPoK


PANDUAN BERUSRAH

1. PENGENALAN

Maksud
Usrah dalam bahasa Arab ialah keluarga. Sebagai istilah, usrah bermaksud satu program tetap yang dianjurkan oleh kumpulan yang beriman dan bekerjasama untuk memahami dan menghayati Islam.

Anggota
Bilangan anggota usrah terhad. Dalam usrah pimpinan, anggotanya ialah ahli jawatankuasa sesesuatu peringkat organisasi. Dalam PAS, peringkat-peringkat itu ialah peringkat Jawatankuasa Pusat dan Dewan-Dewannya, Badan Perhubungan Negeri dan Dewan-Dewannya, Jawatankuasa Kawasan dan Dewan-Dewannya dan Jawatankuasa Cawangan dan Dewan-Dewannya.

Tempat
Usrah boleh diadakan di rumah anggota usrah dengan cara bergilir-gilir atau di masjid, di surau, di musalla atau sebagainya.

2. TUJUAN USRAH
Meningkatkan kefahaman anggota-anggota terhadap Islam dan menentukan sikap terhadap sesuatu masalah sebagai umat Islam.

Menambahkan penghayatan dan menimbulkan perasaan tanggungjawab terhadap ajaran Islam secara peribadi dan jemaah.

Membina satu generasi Islam yang mengenali Islam sebagai din wa daulah, menghayatinya dalam kehidupan peribadi, menjadikan azam dan cita-cita serta tindakan mendakwahkannya sebagai sistem hidup dalam keluarga, masyarakat dan negara.

Membina generasi Islam yang menegakkan akhlak Islamiah dalam diri dan sensitif terhadap segala perkara yang tidak Islamik.

Membina generasi Islam yang insaf dan sedar akan pelbagai bentuk cabaran dan godaan yang mengancam kemurnian Islam.

Mendidik perasaan anggota supaya bertanggungjawab terhadap Allah dan Rasul-Nya.
Menghubungkan anggota secara langsung dengan al-Quran dan Sunnah.

Mengikhlaskan diri anggota kepada Allah untuk mencari keredaan-Nya, mengharapkan pahala dan berasa gerun terhadap seksaan-Nya. Sebaliknya bukan disebabkan segan dengan naqib usrah atau kumpulannya. Oleh itu setiap anggota hendaklah membetulkan niat, diikuti dengan amalan sekalipun tanpa arahan sesiapa.

Menggiat dan menyelaraskan usaha mempelajari dan memahami Islam di kalangan anggota.
Menyediakan tenaga yang benar-benar berkemampuan berketrampilan untuk bergerak demi kepentingan Islam.

Memelihara organisasi daripada dimasuki pemikiran yang keliru dan sumbang.

Mengukuhkan perasaan bersaudara dan memupuk semangat bertindak secara jemaah.

3. PELAKSANAAN USRAH
Usrah diadakan seminggu atau dua minggu sekali.

Majlis usrah dikendalikan oleh seorang naqib atau naqibah.
Solat berjemaah, berwirid, membaca al-Quran adalah rukun utama majlis usrah.
Atur cara tetap usrah yang dicadangkan ialah solat Maghrib berjemaah, berwirid dengan al-Ma'thurat dan membincangkan kertas-kertas kerja yang telah disediakan oleh naqib atau naqibah. Naqib hendaklah menghuraikan maksud al-Ma'thurat, kelebihannya dan maksud kandungannya.

Majlis usrah mestilah mempunyai tajuk yang tertentu yang telah ditetapkan terlebih dahulu dan dimaklumkan kepada anggota, sebaik-baiknya telah ditentukan bahan rujukan atau teksnya.

Sesudah berbincang dan berbahas dan bertukar-tukar fikiran dengan teliti, maka majlis mengambil satu keputusan atau rumusan yang menjadi pegangan kepada semua. Usrah ditegah sama sekali ditamatkan tanpa menghasilkan sesuatu persetujuan. Perbahasan boleh dilanjutkan kepada beberapa siri usrah sehingga dapat rumusan yang bulat dan konkrit, sekiranya tajuk perbahasan merupakan isu pokok dan memerlukan pandangan pimpinan yang lebih tinggi, maka hendaklah dirujuk kepada peringkat yang lebih bertanggungjawab dalam jemaah.

Tajuk yang akan diusrahkan pada minggu yang akan datang ditentukan oleh naqib atau menurut ketetapan bersama atau menurut arahan pimpinan.

Sebahagian daripada waktu usrah hendaklah diperuntukkan khusus kepada organisasi dan hal ehwal semasa dan perkembangan perjuangan umat Islam di dalam dan luar negara.

Usrah dikehendaki bersurai di sekitar jam 11 malam, sesudah membaca tasbih kafarah dan surah Al-Asr.

4. ADAB USRAH

1. Ikhlas
Ikhlas hanya kepada Allah seperti firman-Nya, maksudnya: Dan tidaklah mereka tiadalah disuruh, melainkan supaya menyembah Allah, serta mengikhlaskan agama bagi-Nya, beribadat mengharapkan keredaan-Nya) sambil cenderung kepada tauhid, dan supaya mereka mendirikan solat dan memberikan zakat dan itulah agama yang lurus (betul). (Al-Bayyinah, 98:5) Sabda Rasulullah salallahu alaihi wassalam, maksudnya: Hanya segala amal itu dengan niat dan hanya bagi tiap-tiap seseorang itu apa yang dia niatkan. (Mutaffaqun'alaih)

2. Meminta Izin Masuk
Meminta izin untuk masuk serta memberi salam sebelum memasuki rumah anggota atau tempat diadakan majlis usrah. Firman Allah Taala, maksudnya: Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke dalam rumah yang bukan rumahmu, sehingga kamu minta izin dan mengucapkan salam (selamat) kepada yang empunyanya. Demikian itu lebih baik bagimu, mudah-mudahan kamu mendapat peringatan. (An-Nur, 24:27)
3. Menepati Masa
Datang ke majlis tepat pada waktu yang ditetapkan. Sabda Rasulullah s.a.w.: Dari Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda: Tanda orang munafik itu tiga, iaitu jikalau dia berdusta, jikalau berjanji dia memungkiri dan jikalau diamanahkan dia khianat. (Mutaffaqun'alaih).

4. Suci
Datang ke majlis dalam keadaan berwuduk dan memakai pakaian yang sopan, bersih, suci serta sempurna. Maksudnya: Dari Abu Malik Al-Asy'ari r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: Bersuci itu separuh daripada keimanan. (Muslim) Sabda Rasulullah s.a.w. lagi, maksudnya: Dari Usman bin Affan r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesiapa yang berwuduk lalu memperbagus wuduknya (menyempurnakan sesempurna mungkin) maka keluarlah kesalahan-kesalahannya sehingga keluarnya itu sampai dari bawah kuku-kukunya. (Muslim) Perkara ini diperlakukan supaya senang untuk mendirikan solat, mudah apabila memegang al-Qur'an dan ayat-ayatnya dalam teks usrah, dan terjauh daripada gangguan syaitan ... dapat berbincang tanpa dipengaruhinya.
5. Beritahu Naqib Jika Tidak Hadir
Jika ada yang tidak dapat hadir kerana uzur syarie, hendaklah segera memberitahu hal itu kepada naqib atau naqibah atau sekurang-kurangnya kepada sahabat yang menjadi tuan rumah. Hal ini bertujuan untuk (a) melatih diri bertanggungjawab dalam setiap kerja, (b) supaya naqib dan sahabat tidak tertunggu-tunggu, (c) supaya dapat mengelakkan prasangka yang tidak baik, dan (d) supaya makanan yang disediakan tuan rumah tidak berlebihan.
6. Bersedia dari Segi Mental dan Perlakuan
Datanglah ke majlis dengan persiapan yang telah diamanahkan setelah kita sanggup untuk menunaikannya. Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala: Maksudnya: Dan penuhilah perjanjian dan sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya. (Al-Israk, 17:34) Perkara ini perlu agar majlis usrah berjalan sebagaimana yang dirancang, kita dapat berlatih menunaikan amanah yang kecil sebelum diberi amanah yang besar, dan akan menjadi pendorong dan contoh kepada sahabat yang kemudian. Kegagalan kita bebuat demikian dibimbangkan akan menjadi alasan kepada sahabat yang lain untuk tidak membuat persiapan pada masa akan datang.
7. Membawa Sumber dan Alat Tulis
Sediakan keperluan seperti al-Qur'an, teks surah, buku-buku catatan dan al-Ma'thurat (jika perlu) . Kegagalan berbuat demikian akan mengganggu sahabat yang dikongsi teksnya.
8. Mengukuhkan Ukhuwah
Datang ke majlis dengan hasrat untuk mengukuhkan ukhuwah dan berkasih sayang kerana Allah. Maksud hadis: Dari Abu Hurairah r.a. katanya: Rasullah s.a.w. bersabda: Sesungguhnya Allah Ta'ala berfirman pada hari kiamat "Manakah orang-orang yang saling cinta-mencintai kerana keagungan-Ku? Pada hari ini mereka itu akan Aku beri naungan pada hari ini tiada naungan melainkan naungan-Ku sendiri." (Muslim)
9. Menuntut Ilmu
Berazam untuk mendapatkan ilmu dan kefahaman bagi diamalkan dan disampaikan kepada orang lain kecuali perkara yang rahsia. Maksud hadis: Dari Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesiapa yang menempuh suatu jalan untuk mencari ilmu pengetahuan di situ, maka Allah akan memudahkan baginya suatu jalan untuk menuju ke syurga. (Muslim)
10. Duduk dengan Sopan
Duduk dengan bersopan santun. Majlis usrah adalah majlis zikrullah dan dihadiri sama oleh para malaikat. Janganlah engkau layangkan pemandangan engkau kepada barang yang telah Kami beri kesukaan kepada bermacam-macam orang kafir dan janganlah engkau berdukacita terhadap mereka itu dan rendahkanlah sayap engkau kepada orang-orang yang beriman (berhina dirilah, jangan sombong). (Al Hijr, 15:88) Nota penyunting: Janganlah berlunjur. Apabila hendak beralih kedudukan, lakukan dengan sopan. Terlalu kerap mengubah cara duduk boleh mengganggu sahabat kita.
Sabda Rasullah s.a.w., maksudnya: ... Dari Abu Hurairah r.a. Abu Said r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: Tiada suatu kaum pun duduk-duduk sambil berzikir kepada Allah melainkan dikelilingi oleh para malaikat dan ditutupi oleh rahmat serta turunlah kepada mereka itu ketenangan dalam hati mereka dan Allah mengingatkan mereka kepada makhluk-makhluk yang ada di sisinya yakni disebutkan-sebutkan hal ehwal mereka itu di kalangan para Malaikat. (Muslim)
11. Fatihah dan Selawat
Mulakan majlis dengan membaca al-Fatihah dan berselawat kepada Nabi Muhammad s.a.w. Maksud hadis: Dan daripada (Abu Hurairah) dari Nabi s.a.w. sabdanya: Tiada suatu kaum pun yang duduk di suatu majlis yang mereka tiada berzikir kepada Allah Ta'ala dalam majlis tadi, juga tidak mengucapkan bacaan selawat kepada Nabi mereka di dalamnya, melainkan atas mereka itu ada kekurangannya. Jikalau Allah berkehendak, maka Allah akan menyeksa mereka dan jikalau Allah berkehendak, maka Allah akan mengampunkan mereka. (Tarmizi) Nota penyunting: Berselawat tidak menjadi amalan usrah saya pada masa lalu, sama ada semasa saya menjadi ahli, naqib atau penasihat. Saya mesti membetulkan keadaan ini. Seorang sahabat usrah saya, Samsudin bin Basar, memberi komen bahawa permulaan usrah nampak selari dengan rukun khutbah. Tambahan: Alhamdulillah, pada 11 Februari 1999, apabila saya berpeluang menggantikan naqib, saya telah melaksanakan hal ini.
12. Menyampaikan kepada Orang Lain
Mendengar segala penjelasan, bacaan-bacaan, arahan-arahan dan pengajaran dengan teliti dan tenang sambil cuba memahaminya, mencatat dan mengingat fakta dengan tepat sebelum disampaikan kepada orang lain. Maksud hadis: Dari Abi Bakrah r.a. dari Nabi Muhammad s.a.w., sabdanya: Hendaklah orang yang hadir menyampaikan kepada yang tidak hadir kerana sesungguhnya mudah-mudahan (diharapkan) orang yang disampaikan itu kepadanya lebih hafaz dan lebih faham dari yang menyampaikannya. (Bukhari dan Muslim)
13. Bertanya dengan Izin
Memohon penjelasan atau mengemukakan pertanyaan selepas diberi peluang atau setelah meminta izin naqib atau naqibah.
14. Mencelah Apabila Sangat Perlu
Jangan mencelah ketika naqib atau sahabat sedang memberi penerangan kecuali dalam perkara yang memerlukan teguran yang segera (seperti membetulkan bacaan yang silap). Jika kita mencelah, naqib atau sahabat usrah mungkin kehilangan tumpuan terhadap perkara yang sedang diperkatakan.
15. Mengawal Suara
Jangan mengangkat suara tinggi lebih daripada keperluan pendengar. Hal Ini dilarang oleh Allah sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: Dan sederhanalah kamu dalam berjalan dan lunakkanlah suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai. (Luqman, 3:19)
16. Tenang dan Serius
Jangan banyak ketawa kerana hati yang sentiasa berhubung dengan Allah bersifat tenang dan serius. Maksud hadis: Dari Anas r.a. katanya: Nabi Muhammad s.a.w. mengucapkan sebuah khutbah yang saya tidak pernah mendengar suatu khutbah pun seperti itu kerana amat menakutkan. Baginda bersabda: "Andai kata engkau semua dapat mengetahui apa yang aku ketahui, nescaya engkau semua akan sedikit ketawa dan banyak menangis." Para sahabat menutupi wajah masing-masing sambil mendengar suara esakannya. (Mutaffaqun'alaih)
17. Jangan Bergurau
Jangan banyak bergurau. Umat yang sedang berjuang itu tidak mengerti melainkan bersungguh-sungguh dalam semua perkara. Banyak bergurau akan menjadikan majlis usrah bertukar menjadi majlis jenaka, gurau senda dan gelak ketawa. Keperluan bergurau terkawal dan terhad pada perkara yang benar sahaja. Saya bergurau tetapi saya tidak berkata sesuatu kecuali kebenaran. Nota penyunting: Saya belum pasti ungkapan ini hadis atau kata-kata biasa. Jika hadis, sumber hadis ini tidak tercatat dalam teks asal. Diharap ada pembaca yang lebih mengetahui memberi respons.
18. Jangan Merokok
Jangan merokok di tempat usrah. Usahakanlah agar tabiat merokok ini boleh ditinggalkan terus. Bau asap boleh mengganggu sahabat dan tuan rumah yang tidak merokok. Nota penyunting: Alhamdulillah, telah sebelas tahun saya dapat meninggalkan tabiat merokok. Usrah berjaya membentuk peribadi saya dari segi ini.
19. Jangan Banyak Soal
Jangan mempersoalkan arahan-arahan yang telah diberikan dengan jelas dan menepati syarat: Maksud hadis: Sesungguhnya binasa umat sebelum kamu kerana mereka banyak menyoal (yang tidak berfaedah) dan mereka suka menyalahi Nabi-nabi mereka. (Mutaffaqun'alaih)
20. Izin keluar Majlis
Minta izin dari naqib sebelum keluar dari majlis kerana sesuatu keperluan. Keluar dari majlis tanpa izin merupakan perangai orang muafik.
Firman Allah, maksudnya: Sesungguhnya yang sebenar-benar orang mukmin ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, dan apabila mereka berada bersama-sama Rasulullah dalam sesuatu urusan yang memerlukan pertemuan, mereka tidak meninggalkan (Rasulullah) sebelum meminta izin kepadanya. Sesungguhnya orang-orang yang meminta izin kepadamu (Muhammad) mereka itulah orang-orang yang beriman kepada Allah dan rasul-Nya, maka apabila mereka meminta izin kepadamu kerana sesuatu keperluan, berilah izin kepada siapa yang kamu kehendaki antara mereka, dan mohonkanlah ampunan untuk mereka kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (An-Nur 24:62)
21. Jangan Bertengkar
Jangan sekali-kali bertengkar kerana pertengkaran akan merenggangkan ukhuwah sedangkan antara matlamat usrah ialah untuk memupuk ukhuwah.
Allah berfirman, maksudnya: Orang-orang mukmin itu sesungguhnya bersaudara. Sebab damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu dan takutlah kepada Allah, supaya kamu mendapat rahmat. (Al-Hujurat, 49:10) Firman Allah lagi, Dan taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah-bantahan yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatanmu dan bersabarlah. Sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar. (Al-Anfal, 8:46)
22. Berusaha mengenali sahabat
Sentiasa berusaha di dalam dan di luar majlis usrah untuk mengenali sahabat-sahabat satu usrah.
23. Membaca Tasbih Kafarah
Akhiri majlis dengan membaca tasbih kafarah dan surah al-Asr secara sedar dan memahami serta menghayati maknanya. Maksud hadis: Daripada Abu Barzah r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda pada penghabisannya jikalau beliau s.a.w. hendaklah berdiri dari majlis yang ertinya: "Maha Suci Engkau ya Allah, dan saya mengucapkan puji-pujian pada-Mu. Saya menyaksikan bahawasanya tiada Tuhan melainkan Engkau saya mohon ampun serta bertaubat pada-Mu." Kemudian ada seorang lelaki berkata. "Ya Rasulullah! Sesungguhnya tuan mengucapkan sesuatu ucapan yang tidak pernah tuan ucapkan sebelum ini." Baginda bersabda: "Yang demikian itu adalah sebagai kafarah (penebus) daripada apa saja yakni kekurangan-kekurangan atau kesalahan-kesalahan yang ada di dalam majlis itu." (Diriwayatkan oleh Imam Abu Daud juga diriwayatkan oleh imam Hakim iaitu Abu Abdillah dalam kitab Al-Mustadrak dari riwayat Aisyah radiallahu anha dan ia mengatakan bahawa hadis ini adalah sahih isnadnya.)
24. Bersalaman
Bersalaman dan saling bermaaf-maafan selepas selesai majlis. Firman Allah s.w.t., maksudnya: (Iaitu) orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik pada waktu lapang mahupun sempit, dan orang-orang yang menahan marahnya serta memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan. (Ali Imran, 3:134) Firman Allah s.w.t. lagi: Maksudnya: Jadilah engkau pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang makruf serta berpalinglah daripada orang-orang yang bodoh." (Al-A'raf, 7:199)
25. Bersegera Pulang
Terus pulang apabila selesai majlis kecuali ada keperluan yang penting. Berilah peluang kepada tuan rumah untuk berkemas dan fahamilah bahawa tuan rumah mungkin letih dan hendak segera berehat atau dia ada urusan lain.
26. Menjaga Rahsia Jemaah
Rahsiakan setiap perbincangan, maklumat atau arahan yang telah diputuskan tentang sesuatu perkara atau setiap perkara yang dikirakan tidak patut untuk disebarkan.
Itulah di antara adab-adab usrah yang patut menjadi amalan setiap naqib atau naqibah dan setiap anggota usrah supaya matlamat usrah akan tercapai, insya Allah

5. RUKUN USRAH

1. Taaruf
Taaruf bermaksud berkenalan secara mendalam hingga menimbulkan kasih sayang dengan tujuan al-hubbufillah. Firman Allah: Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara ....." Dan Sabda Rasulullah s.a.w., maksudnya: Orang yang beriman dengan orang yang beriman yang lain laksana satu binaan, saling kuat menguat antara satu dengan yang lain. Sabda Rasulullah s.a.w., maksudnya: Kami mengasihi saudara kerana dia adalah saudara pada jalan Allah. Di samping itu sikap mahabbah mesti di buktikan dalam amalan dan penghayatan bukan sekadar teori semata-mata. At-Taaruf ialah kenal mengenal dari bab mufa'alah (daripada dua belah pihak) salbi dan i-jabi (memberi dan menerima)--kenal yang benar-benar, tahu selok-belok tentang saudara kita, supaya kita membuat dan bertindak untuk mengarah sesuatu yang sesuai dengannya.

2. Tafahum
Tafahum maksudnya bersefahaman. At-tafahum daripada bab mufa'alah juga, bertujuan supaya usrah membuahkan suatu sikap, satu tindakan daripada sama-sama faham, sama-sama beramal iaitu sama-sama menjalankan perintah Allah, tunduk kepada kebenaran, muhasabah diri, muhasabah sama-sama jemaah dan disusuli dengan nasihat menasihati antara saudara (ad-Dinul nasihah). Awas jangan sama sekali nasihat menasihati ini menimbulkan apa-apa perasaan yang tidak senang kepada satu sama lain, baik yang memberi atau menerima, cuba renungkan hadith di atas.

3. Takaful
Rukun ini merupakan dasar membela nasib sesama sendiri, supaya jangan ada orang yang terbiar atau terlantar nasibnya tidak terbela. Maksud rukun ini ialah anggota usrah hendaklah mengambil berat masalah-masalah yang dihadapi oleh saudaranya. Takaful ini merupakan pancaran pekerti yang dilahirkan daripada keimanan, dan merupakan inti sari daripada ukhuwah yang murni.
Sabda Rasulullah s.a.w., maksudnya: Sesungguhnya seorang kamu pergi menunaikan sesuatu keperluan saudaranya lebih baik baginya daripada beriktikaf di masjid aku selama sebulan. (....) Dan sabdanya lagi, maksudnya: Sesiapa yang telah memasukkan kegembiraan iaitu menghilangkan kesusahan dan kesukaran kepada keluarga muslim, maka Tuhan tidak melihat balasan kepada selain syurga. (....) Inilah gambaran besar atau kecilnya at-takaful dalam Islam bagi rukun usrah ketiga.

6. TUGAS NAQIB

Bahan Asas.
Pastikan anak buah mempunyai bahan-bahan asas seperti al-Qur'an dan terjemahannya, buku dan alat tulis.

Muhasabah.
Adakan satu sistem untuk muhasabah anak buah. Lakukan mengikut tahap-tahap tertentu, secara terbuka atau individu.

Jamuan.
Jamuan boleh ada, boleh tiada. Jika diadakan, pastikan jamuan itu sederhana--bukan majlis menjamu selera.

Menjaga Ibadah Khusus.
Kesempurnaan beribadat seperti solat, puasa, zakat dan ibadat nawafil mesti diutamakan. Pastikan anak buah anda benar-benar mengerti dan mengamalkannya. Sekali sekala, anjurkan ibadat nawafil jamai seperti qiamullail, puasa, zakat harta dan lain-lain.

Pemilihan Tajuk.
Gunakan kebijaksanaan dalam memilih tajuk usrah supaya dapat mengubati kelemahan yang wujud dalam diri anak buah anda dengan memilih tajuk yang sesuai dengan suasana anak buah anda, contohnya sekiranya usrah anda lemah dalam ikatan persaudaraan atau tidak cukup mesra maka jadikan tajuk usrah persaudaraan dan tuntutannya dalam Islam.

Cungkil Bakat.
Naqib hendaklah mencungkil bakat yang terpendam dalam organisasi. Mereka mempunyai kebolehan dalam menulis kertas kerja dan mengajar, berceramah dan lain-lainnya mestilah diasah bakatnya dalam usrah.
Tambah Ilmu.
Anda mestilah menggalakkan anak buah anda membaca buku-buku ilmiah, pengetahuan termasuk majalah-majalah, surat khabar, kertas kerja, kajian ilmiah dan lain-lainnya. Tugaskan mereka membuat ringkasan dalam usrah, khususnya buku-buku keluaran jamaah kita termasuk kaset-kaset rakaman syarahan pimpinan parti.
Wujudkan Subkumpulan.
Anggota usrah yang sedia ada hendaklah ditugaskan mengadakan kelompok-kelompok usrah yang baru, mereka ditugaskan memimpinnya. Anda hendaklah menjadi penyelia kepada kelompok-kelompok baru itu.

Teks Usrah.
Pada peringkat permulaan dinasihatkan supaya setiap usrah mempunyai kitab atau teks yang tertentu. Sekiranya perlu, jamaah hendaklah membeli kitab-kitab rujukan tersebut.
Tabung Usrah. Usahakan sedaya upaya usrah mempunyai tabung, setiap kali berusrah hendaklah dipungut derma walaupun kadar yang paling sedikit.

Aktiviti Sokongan.
Sekali sekala anjurkan perkelahan di tempat-tempat yang difikirkan munasabah seperti di tepi pantai di sungai, di pedalaman dan ziarah tempat-tempat bersejarah atau tokoh-tokoh jamaah kita khususnya para ulama. Jadikan muhasabah ini suatu peluang mengenali rakan seperjuangan saudara dari dekat.
Profil Ahli.
Amat berguna sekiranya naqib mempunyai nota atau diari, khususnya mengenai anggota usrah. Diari ini mengandungi maklumat yang membolehkan naqib mengetahui kebolehan, keistimewaan kedudukan serta iltizam ahli usrahnya.

Mengikuti Perkembangan Sahsiah.
Naqib bertanggungjawab mengembang dan mengikuti kemajuan sahsiah anggota usrah. Adab mestilah dijaga--jangan sama sekali berlaku jadar (berbalah) dan perbincangan yang tidak berguna sehingga terkeluar daripada adab seperti mengeluarkan suara nyaring.

Bahan ini merupakan adaptasi sebahagian daripada risalah Usrah dan Matlamatnya terbitan Lujnah Tarbiah dan Latihan Kepimpinan PAS Pusat.

©Gerak Usrah, 1998-2005

Tiada ulasan: