Assalamualaikum

أخوكم في الله

AhLaN Wa SaHLaN

Khamis, 19 Jun 2008

Agama adalah Nasihat Bhg.2

Assalamualaikum
hari ni saya ingin menyambung kembali syarah hadis "Agama adalah Nasihat" iaitu bahagian kedua, yang mana bahagian ini mengisahkan tentang an-nasihah untuk Rasulullah s.a.w, Nasihat untuk para imam muslimin dan An-nasihah untuk umum muslimin, serta bentuk-bentuk an-nasihah yang paling besar, beberapa pandangan ulamak mengenai an-nasihah, diantara adab an-nasihah di dalam Islam dan disana terdapat beberapa faedah hadis ini.renungi lah.....

.....sambungan.....

3. An-nasihah untuk Rasulullah s.a.w :

An-nasihah untuk Rasulullah s.a.w ialah dengan membenarkan risalahnya, beriman dengan semua perkara yang didatangkan oleh al-Quran dan as-Sunnah. Begitu juga dengan mencintai dan mentaatinya. Mengasihi Rasulullah s.a.w adalah sama seperti mengasihi Allah s.w.t. Firman Allah :

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi kamu” (Aali ‘Imran: 31)

Ketaatan kepada Rasulullah s.a.w juga merupakan ketaatan kepada Allah. Firman Allah :

“Sesiapa yang taat kepada Rasulullah s.a.w, maka sesungguhnya dia telah taat kepada Allah” (An-Nisaa’: 80)

An-nasihah untuk Rasulullah s.a.w selepas kewafatan baginda menuntut daripada kaum muslimin supaya mengkaji sirah perjalanan hidup Rasulullah s.a.w, berakhlak serta beradab dengan akhlak dan adab-adabnya, beriltizam dengan sunnahnya sama ada dalam bentuk perkataan mahupun perbuatan, mengambil pengajaran dan peringatan daripada kehidupan baginda dan memberi saham di dalam menyebarkan sunnah baginda di kalangan manusia. Begitu juga menolak segala tohmahan batil yang dilemparkan oleh para musuh dan mereka yang berkepentingan serta dakwaan mereka yang melampaui batas dalam masalah bida’ah.

4. Nasihat untuk para imam muslimin :

Yang dimaksudkan dengan imam muslimin ialah para pemerintah umat Islam dan sesiapa sahaja yang dilantik oleh mereka. Termasuk juga dalam pengertian imam muslimin ialah para ulamak dan golongan islah (mereka yang memperbetulkan penyelewengan).

Adapun para pemerintah umat Islam, mereka mestilah terdiri dari kalangan muslimin supaya ketaatan terhadap mereka menjadi wajib. Allah telah berfirman :

“Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulil Amri (orang yang berkuasa) dari kalangan kamu” (An-Nisaa’: 59)

An-nasihah kita untuk mereka ialah dengan kita menyukai kebaikan, petunjuk dan keadilan mereka. Bukannya kita mencintai mereka kerana peribadi mereka ataupun kerana kepentingan peribadi yang akan diperolehi melalui mereka. Begitu juga dengan kita mahu supaya kesatuan ummah berada di bawah pemerintahan mereka yang adil dan membenci sebarang perpecahan dan kebinasaan masyarakat di bawah pemerintahan mereka yang zalim dan lemah.

An-nasihah kita untuk mereka juga ialah dengan menolong serta mentaati mereka berlandaskan kebenaran dan memperingati mereka dengan kebenaran. Kita memberi peringatan kepada mereka dengan teliti, penuh hukmah dan lembut. Sesungguhnya tidak ada kebaikan pada umat yang tidak menasihati para pemerintahmereka dan tidak mengatakan kepada pemerintah zalim; Kamu zalim! Begitu juga tidak ada kebaikan kepada pemerintah yang menghina rakyatnya dan mengunci mulut-mulut mereka yang memberi nasihat serta menulikan telinganya daripada mendengar kalimah yang benar, bahkan membenci sekiranya terdapat mereka yang menyatakan kebenaran kepadaya.

Ketika umat menjadi seperti tunggul kayu, tidak melaksanakan tanggungjawab an-nasihah dan menegur pemerintah, dan pemerintah pula menjadi toghut tidak lagi menerima nasihat dan teguran, ini bererti kehinaan, kehancuran, kekalahan dan kekerdilan. Ia akan berlaku apabila sesuatu umat itu telah menyeleweng daripada prinsip-prinsip Islam. Oleh itu konsep pemikirannya diubah dan dirosakkan oleh perkataan dan perbuatan manusia.

Adapun para ulamak dan golongan islah, tanggungjawab mereka dalam melaksanakan tanggungjawab an-nasihah untuk kitab Allah dan sunnah Rasul-Nya begitu besar. Tanggungjawab ini menuntut supaya mereka menolak kehendak hawa nafsu yang sesat dengan kitab Allah dan sunnah Rasul-Nya serta menjelaskan dalil daripada kedua-duanya. Begitu juga menolak pendapat-pendapat yang dhaif dari ulamak yang menyeleweng. Menjelaskan hadis-hadis yang sahih dan dhaif yang terdapat dalam kitab sunnah dan masanidberdasarkan kaedah-kaedah (علل الأحاديث) dan (الجرح والتعديل).

Tanggungjawab mereka yang lebih besar ialah melaksanakan tanggungjawab an-nasihah untuk para pemerintah dan menyeru mereka supaya berhukum dengan kitab Allah dan sunnah Rasul-Nya. Sesungguhnya Allah akan menghisab mereka sekiranya mereka cuai melaksanakan tanggungjawab ini dan tidak berusaha bersungguh-sungguh menyatakan kalimah yang benar di hadapan para pemerintah. Rasulullah s.a.w pernah bersabda :

“Sebesar-besar jihad ialah (menyatakan) kalimah yang benar di hadapan pemerintah yang zalim”

Mereka akan dihisab di hadapan Allah sekiranya mereka mengampu pemerintah dengan pujian palsu sehingga dia meneruskan kezaliman dan kesesatan yang dilakukan dan menjadikan diri mereka sebagai seruling dan tunggangan pemerintah. Di sana terdapat perbezaan yang sangat besar di antara dua keadaan. Pertama, mereka hanya bersama-sama dengan kumpulan pemerintah (sultan) dan keduanya, mereka menjadi ‘pak turut’ di dalam kumpulan khadam-khadam pemerintah.

An-nasihah kita untuk para ulamak dan golongan islah ialah dengan kita mengingatkan tentang tanggungjawab yang dipertanggungjawabkan ke atas pundak mereka dan kita membenarkan apa yang mereka riwayatkan daripada Rasulullah s.a.w selagimana mereka adalah ahli siqah (dipercayai). Kita memelihara lidah daripada mencerca atau mencela mereka, kerana perlakuan ini akan menghilangkan kehebatan dan meletakkan mereka di kandang orang salah.

5. An-nasihah untuk umum muslimin :

An-nasihah untuk umm muslimin ialah dengan memberi tunjuk ajar kepada mereka demi kepentingan akhirat dan dunia mereka. Apa yang menyedihkan, umat Islam telah memandang entang di dalam melaksanakan hak an-nasihah terhadap muslim yang lain khususnya di dalam masalah bekalan mereka menuju akhirat mereka membataskan segala perhatian kepada kepentingan dan perhiasan dunia sahaja.

An-nasihah yang dilaksanakan mestilah tidak terhenti sekadar kata-kata, bahkan mesti menjangkau ke peringkat amalan. Dengan itu, an-nasihah akan berperanan dalam masyarakat Islam sebagai penutup keaiban dan penyekat kecacatan, penahan mudharat, pelahir maslahat (kebaikan), penyeru makruf dan pencegah mungkar, pemberi ketenangan kepada yang dewasa, rahmat kepada yang kecil dan sebagai pencegah daripada berlakunya penipuan dan hasad dengki, sekalipun dengan melaksanakan an-nasihah itu akan memudharatkan dunia dan harta orang yang melaksanakannya.

6. Bentuk-bentuk an-nasihah yang paling besar :

Di antara bentuk-bentuk an-nasihah yang paling besar di kalangan umat Islam ialah memberi nasihat kepada sesiapa yang meminta nasihat. Rasulullah s.a.w bersabda :

“Apabila seseorang daripada kamu meminta nasihat, maka nasihatilah dia”

Di antara bentuk an-nasihah yang paling besar ialah an-nasihah untuk saudaranya ketika ketiadaan iaitu dengan menolong dan membelanya (mempertahankannya), kerana melakukan tanggungjawab an-nasihah di waktu ketiadaan membuktikan kejujuran pelakunya. Sabda Rasulullah s.a.w :

“Sesungguhnya di antara hak seorang muslim ke atas saudara muslimnya ialah dia melaksanakan tanggungjawab an-nasihah untuknya di kala ketiadaannya”

7. Beberapa pandangan ulamak mengenai an-nasihah :

Imam Hasan al-Basri pernah berkata : “kamu tidak akan sampai kepada an-nasihah yang sebanarnya terhadap saudaramu sehinggalah kamu menyuruhnya dengan sesuatu yang tidak mampu dilaksanakannya”. Beliau meriwayatkan bahawa sesetengah sahabat Nabi s.a.w berkata : “Demi Tuhan yang diriku di dalam genggaman-Nya, sekiranya kamu suka pasti aku akan bersumpah dengan nama Allah kepada kamu. Sesungguhnya sekasih-kasih hamba kepada Allah ialah mereka yang menjadikan Allah mengasihi hamba-Nya dan menjadikan hamba mengasihi-Nya serta berusaha menyebarkan an-nasihah di atas muka bumi ini”.

Abu Bakar al-Muzani berkata : “Saidina Abu Bakar r.a tidak melebihi para sahabat Rasulullah s.a.w yang lain dengan puasa dan tetapi dengan sesuatu yang ada di dalam hatinya”. Kata beliau : “Yang ada di dalam hatinya itu ialah kecintaan kerana Allah dan an-nasihah kepada makhluk-Nya”.

Fudhail bin I’yadh berkata : “Orang yang paling berjaya di sisi kami, bukanlah mereka yang berjaya melaksanakan banyak sembahyang dan puasa. Tetapi yang paling berjaya di sisi kami diukur dengan jiwa yang pemurah, berlapang dada dan melaksanakan tanggungjawab an-nasihah terhadap ummah”.

8. Di antara adab an-nasihah di dalam Islam :

Seseorang itu hendaklahmemberi nasihat dan menegur saudaranya secara rahsia kerana sesiapa yang menutup keaiban saudaranya, maka Allah akan menutup keaibannya di dunia dan di akhirat.

Sebahagian ulamak berkata : “Sesiapa yang menegur saudaranya dengan sesuatu perkara dan hanya diketahui olehnya dan saudaranya sahaja, maka itu adalah nasihat. Sesiapa yang memperingatkan saudaranya di khalayak ramai, maka sesungguhya dia telah menempelaknya”.

Fudhail bin I’yadh berkata : “Mukmin ialah mereka yang menutup keaiban dan memberi nasihat tetapi si jahat ialah mereka yang membuka keaiban dan memalukan saudaranya”.

9. Melalui hadis ini kita dapat mengambil beberapa faedah :

Ia adalah sebagaimana yang disebut oleh Ibnu Battal :

(a) An-nasihah ialah ad-deen dan Islam. Oleh itu, ad-deen meliputi amalan dan juga perkataan.

(b) Hukum an-nasihah adalah fardhu kifayah; sesiapa yang melaksanakannya akan diberi balasan kebaikan dan akan menggugurkan kewajipan dari bahu orang yang lain.

(c)Tanggungjawab an-nasihah mestilah dilaksanakan sekadar kemampuan, iaitu si pemberi nasihat mengetahui bahawa nasihatnya akan diterima, ditaati dan dirinya terselamat daripada perkara-perkara yang dibenci. Sekiranya dia takut terhadap keselamatan dirinya daripada sebarang penyeksaan maka dia mempunyai pilihan.

.....akhir.....

Rujukan:Kitab al-Wafi,Terjemahan Syarah Hadis 40 Imam Nawawi, m/s 61-64

Tiada ulasan: