Assalamualaikum

أخوكم في الله

AhLaN Wa SaHLaN

Isnin, 9 Jun 2008

Agama adalah Nasihat

Agama adalah Nasihat

عن أبي رقية تميم بن اوس الداري رضي الله عنه : أن النبي صلى الله عليه وسلم قال : ((الدين
النصيحة)) ، قلنا : لمن؟ قال : ((لله ولكتابه ولرسوله ولأئمة المسلمين و عآمتهم)) رواه مسلم

Daripada Abu Ruqayyah Tamim bin Aus, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda : “Agama adalah an-nasihah” Kami bertanya : “Untuk siapa?” Jawab Baginda : “Untuk Allah, kitab-Nya, Rasul-Nya, bagi para Imam muslimin dan seluruh muslimin”.

Hadis ini telah diriwayatkan oleh Imam Muslim di dalam kitab “Iman”, pada bab “Keterangan bahawa agama adalah an-nasihah”. Nombor hadis : 55. Ia merupakan antara hadis yang hanya diriwayatkan oleh Imam Muslim sahaja. Imam Nawawi telah berkata : “Tidak ada satu hadis pun yang diriwayatkan oleh Tamim ad-Daari dsripsds Rasulullah s.a.w yang terdapat di dalam Sahih Bukhari, begitu juga di dalam Sahih Muslim, melainkan hadis ini”.

Kepentingan Hadis

Hadis ini dikatogerikansebagai jawami’ul kalim (ungkapan yang ringkas tetapi mengandungi makna yang padat) yang hanya dimiliki oleh Rasulullah s.a.w. Ia terdiri daripada kalimah-kalimah yang ringkas tetapi mempunyai berbagai makna dan faedah yang agung sehingga kita dapati keseluruhan hadis Rasulullah s.a.w dan hukum-hakam syariat sama ada usul mahupun furu’, amalan dan juga iktiqad. Oleh itu, apabila seseorang itu beriman dan beramal dengan kandungannya sesuai dengan tuntutannya, maka sesungguhnya dia telah menghimpunkan syariat secara total. Allah s.w.t telah berfirman:

“Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam Kitab al-Quran” (Al-An’aam: 38)

Kerana itu para ulama’ telah berkata : “Pusingan Islam bergerak di atas paksi hadis ini”.

Maksud Perkataan

Agama: Yang dikehendaki di sini ialah agama Islam. Maksudnya; tiang dan tunggak agama ialah an-nasihah.
An-nasihah: Ia merupakan satu kalimah yang menggambarkan tentang perasaan inginkan kebaikan untuk yang dinasihati disebabkan nasihat yang diberikan. Perkataan (an-Nashu) pada bahasa bermaksud bersih daripada perkataan yang mencemarkan.
Imam-imam muslimin: Iaitu para pemerintah umat Islam.
Seluruh muslimin: Iaitu seluruh kaum muslimin selain daripada pemerintah.

Kandungan Hadis

1. An-nasihah untuk Allah :

An-nasihah untuk Allah ialah dengan beriman kepada Allah dan menolak syirik terhadap-Nya serta tidak mengingkari sifat-sifat-Nya. Juga dengan menyifatkan-Nya dengan sifat-sifat kesempurnaan, ketinggian dan mensucikan-Nya daripada segala kekurangan. Begitu juga dengan ikhlas beribadat kepada-Nya, melakukan ketaatan, menjauhkan maksiat, kasih dan marah hanya kerana Allah semata-mata, memberi wala’ kepada sesiapa yang mentaati Allah dan menentang sesiapa yang mengingkari-Nya.

Iltizam seorang muslim terhadap semua perkara ini dalam percakapan dan perbuatannya, akan memberi manfaat kepada dirinya sendiri di dunia dan di akhirat. Kerana sesungguhnya Allah s.w.t tidak berhajat kepada sebarang an-nasihah daripada sesiapa pun.

2. An-nasihah untuk kitab Allah :

Iaitu dengan beriman kepada kitab-kitab samawi kesemuanya yang diturunkan oleh Allah. Beriman bahawa al-Quran adalah penutup dan menjadi saksi bagi semua kitab-kitab samawi. Ia merupakan kalam Allah yang penuh mukjizat, dijaga di dalam dada dan dalam bentuk tulisan daripada sebarang penyelewengan. Bahkan Allah s.w.t sendiri telah menjamin daripada berlaku sebarang bentuk penyelewengan dalam firman-Nya :

“Sesungguhnya Kami lah yang menurunkan al-Quran dan Kami memelihara dan menjaganya” (Al-Hijr: 9)

An-nasihah muslim untuk kitab Allah ialah;

(a) Membaca dan menghafalnya
kerana membaca al-Quran boleh menghasilkan pengetahuan, menambahkan kebersihan jiwa, keharmonian perasaan dan juga takwa. Dengan membaca al-Quran juga, ganjaran dengan kebaikan yang besar akan ditulis pada catatan amalannya dan akan menjadi syafaat untuknya di hari penantian pada hari akhirat kelak. Imam Muslim telah meriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w :

“Bacalah al-Quran, sesungguhnya ia akan datang pada hari akhirat sebagai syafaat kepada pembacanya”

Adapun menghafal kitab Allah di dada, ia dapat memakmurkan hati dengan cahaya daripada kitab Allah dan memperolehi kemuliaan yang selayaknya dimiliki oleh seorang muslim. Dengan itu dia akan mendapat kemuliaan di kalangan manusia di dunia dan memperolehi kedudukan yang tinggi di akhirat kelak berdasarkan kepada kadar hafalannya terhadap al-Quran. Abu Daud dan Tirmizi meriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w :

“Dikatakan kepada pembaca al-Quran bacalah dan majulah serta bacalah dengan tartil (sempurna dan teratur) sebagaimana kamu pernah membacanya ketika di dunia. Sesungguhnya martabatmu ialah pada ayat terakhir yang kamu baca”

(b) Membaca al-Quran dengan tartil
(ialah membaca al-Quran denga bacaan yang terang, jelas dan betul mengikut ilmu tajwid) dan memperelokkan suara ketika membacanya yang akan menjadikan bacaan tersebut menusuk ke dalam jiwa lalu menyentuh perasaan. Imam muslim meriwayatkan daripada Rasulullah s.aw :

“Bukan daripada kalangan kami sesiapa yang tidak berlagu-lagu dengan al-Quran”

(c) Meneliti dan memahami ayat dan pengertian yang ingin disampaikan.
Allah telah berfiman :

“(Setelah diterangkan yang demikian), maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi al-Quran? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran al-Quran)?” (Muhammad: 24)

(d) Mengajarnya kepada generasi muslim.
Ini dilakukan supaya mereka dapat memikul tanggungjawab memelihara kitab Allah. Mempelajari dan mengajar al-Quran adalah jalan menuju kepada kemuliaan serta kebahagiaan.Imam Bukhari telah meriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w :

“Sebaik-baik kamu ialah mereka yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya kepada manusia”

(e) Berusaha memahami dan mengamalkannya.
Ini kerana tiada kebaikan pada bacaan tanpa kefahaman dan tidak ada kebaikan pada kefahaman yang tidak disertai dengan amalan. Kesan yang paling penting yang akan kita perolehi daripada al-Quran hanya dapat dinikmati melalui kefahaman dan amal. Amat buruk bagi kita jika kita mengetahui tetapi tidak beramal. Fiman Allah :

“Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang tidak kamu lakukannya? Amat besar kebencian di sisi Alllah – kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya” (As-Soff: 2-3)

Bersambung.....

Rujukan:Kitab al-Wafi,Terjemahan Syarah Hadis 40 Imam Nawawi, m/s 57-60

Tiada ulasan: